30 Mei 2024 / 21 Zulkaedah 1445
Dalam usaha untuk mengembangkan pengetahuan tentang budaya puak-puak yang ada di Daerah Belait, Jabatan Muzium-Muzium melalui Muzium Daerah Belait mengadakan Program Mettae Belait Kitah bersempena Hari Muzium Antarabangsa 2024. Majlis Pelancaran bagi program ini diadakan pagi tadi di Muzium Daerah Belait, Jalan Maulan, Kuala Belait.
Mettae Belait Kitah ataupun Kenali Belait Kitani merupakan satu program inisiatif pengurus dan kakitangan Muzium Daerah Belait, Jabatan Muzium-Muzium dalam memberigakan budaya puak-puak yang ada di Daerah Belait. Bersesuaian dengan tema Hari Muzium Antarabangsa tahun ini iaitu Muzium untuk Pendidikan dan Penyelidikan, program ini diadakan untuk memupuk minat pada pengunjung tentang budaya Puak Belait dengan lebih mendalam melalui pameran dan aktiviti kebudayaan.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada pengerusi majlis, Yang Mulia Pengiran Haji Rosli bin Pengiran Haji Halus, Pemangku Pengarah Muzium yang menyentuh tentang pentingnya generasi kini dan yang akan datang dalam mengenali dan mengetahui budaya-budaya yang ada di negara ini, khususnya yang ada di Daerah Belait untuk memastikan kelestarian warisan budaya negara. Beliau juga berhasrat dengan adanya program ini dapat memberikan impak yang positif kepada orang ramai terutama sekali didalam memupuk minat semua lapisan masyarakat untuk mempertingkatkan lagi penyelidikan serta penyebaran ilmu dalam usah untuk memelihara warisan tamadun negara.
Selain daripada pameran yang sedia ada di galeri-galeri Muzium Daerah Belait, program ini juga akan menyediakan beberapa aktiviti kebudayaan dan juga kemuziuman yang disediakan oleh Jabatan Muzium-Muzium sendiri seperti berikut:
1. Sudut Permainan Tradisi oleh Bahagian Pembelajaran dan Penerbitan. Menyediakan demonstrasi dan tunjuk ajar permainan-permainan tradisi seperti Pasang, Saluk-Salukan, Bua lapas dan congkak
2. Galian Arkeologi dari Bahagian Arkeologi dan Monumen. Mengongsikan pengetahuan mengenai bidang Arkeologi melalui kuiz interaktif. Bahagian ini juga menyediakan pembuatan aksesori seperti rantai, gelang dan kerongsang daripada manik.
3. Asas Pemuliharaan Manuskrip (dan Penjilidan) dari Bahagian Pemuliharaan dan Pembaikan. Bahagian ini menyediakan demonstrasi dan tunjuk ajar cara pemuliharaan manuskrip kertas dan juga penjilidan.
4. Sudut Baju Tradisi Budaya dari Bahagian Etnografi. Bahagian ini menyediakan kuiz interaktif yang menumpukan kepada pakaian budaya tradisi 7 puak yang ada di Negara Brunei Darussalam.
5. Pameran Perpustakaan Jabatan Muzium-Muzium dari Bahagian Perpustakaan. Bahagian ini mempamerkan beberapa buku koleksi perpustakaan.
6. Jualan Buku terbitan Jabatan Muzium-Muzium juga diadakan sekaligus daripada Dewan Bahasa dan Pustaka dan Pusat Sejarah Brunei.
Program ini juga menjemput beberapa vendor tempatan (Kuala Belait)
Turut dijemput wakil daripada Puak Belait dan Puak Dusun memperagakan pakaian budaya tradisi masing-masing.
Hadir selaku tetamu kehormat merasmikan program ini ialah Yang Berhormat Awang Haji Mohd Salleh bin Haji Othman, Penghulu Mukim Bukit Sawat, Daerah Belait. Turut hadir ialah Yang Mulia Pengiran Haji Mohd Hasnan bin pengiran Haji Ali Hassan, Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Program ini berlangsung selama satu hari di Muzium Daerah Belait bermula daripada jam 9.00 pagi sehingga 3.45 petang.