Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Pameran Kebaya : Pengetahuan, Kemahiran, Tradisi dan Amalan

​26 Safar 1445 / 12 September 2023 - Kementerian Kebudayaan, Belia dan Suka​n melalui Bahagian Kebudayaan dan Kesenian dengan kerjasama Jabatan Muzium-Muzium Brunei, Dewan Bahasa dan Pustaka, dan Pusat Sejarah Brunei mengadakan Pameran Kebaya: Pengetahuan, Kemahiran, Tradisi dan Amalan di Galeri 4, Hab Tenaga Dermaga Diraja, Bandar Seri Begawan. 

​Pameran Kebaya: Pengetahuan, Kemahiran, Tradisi dan Amalan adalah sebagai usaha pembarigaan kepada pencalonan Kebaya ke UNESCO bagi tahun 2023. Pencalonan ini merupakan kali pertama bagi Negara Negara Brunei Darussalam dalam usaha memelihara serta melindungi warisan negara melalui UNESCO. 

Pencalonan ini juga pencalonan bersama Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand ke senarai Representative List of the Intangible Cultural Heritage of Humanity, UNESCO pada tahun 2023. 

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya merasmikan Pameran Kebaya: Pengetahuan, Kemahiran, Tradisi dan Amalan ialah Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Dayang Hajah Romaizah binti Haji Md Salleh, Menteri Pendidikan / Pemangku Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku Pengerusi Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO di Negara Brunei Darussalam.

Pelaksanaan pameran ini juga disempenakan dengan Sambutan Ulang Tahun Ke-20 Konvensyen Melindungi Warisan budaya Tak Ketara 2003, UNESCO sejak Konvensyen ini diadopsi pada 17 Oktober 2003 dalam Sidang Umum ke-32 UNESCO. Negara-negara ahli disarankan untuk menyambut ulang tahun ke-20 dengan mengadakan pelbagai kegiatan. Dalam erti kata bahawa sambutan ini merupakan kesempatan Negara Brunei Darussalam sebagai ahli kepada Konvensyen Memelihara Warisan Budaya Tak Ketara (Intangible) 2003 untuk sama-sama meraikan akan kepentingan warisan hidup ialah milik bersama.

Tema Sambutan Ulang Tahun ke-20 Konvensyen 2003, UNESCO ini ialah “We Are #LivingHeritage” (Kita #WarisanHidup”) dan juga digunakan dalam kempen media sosial UNESCO. Warisan hidup yang dimaksudkan adalah tentang manusia, daya tahan dan pengetahuan yang diwariskan dari generasi ke generasi.

Pameran ini melibatkan 4 agensi, iaitu: Bank Islam Brunei Darussalam dan Royal Brunei Airlines mempamerkan pakaian seragam (kebaya), manakala Fashion Designers Alliance (persatuan pereka fesyen Negara Brunei Darussalam) mempamerkan koleksi rekaan kebaya. Fashion Designers Alliance adalah sebagai penerus generasi pereka fesyen dan jahitan yang terdiri daripada anak tempatan dan diwakili oleh Naforrer dan LITTLE DAYANG. Lamin Warisan juga turut menyumbangkan baju kebaya lama untuk dipamerkan. 

Antara matlamat pameran ini diadakan adalah untuk: 

a) Memberikan impak dan semangat serta kesedaran kepada masyarakat, khususnya belia dan generasi muda akan kepentingan menjaga warisan budaya tak ketara Negara Brunei Darussalam;

b) Memberikan ilmiah dan pengetahuan serta kefahaman yang lebih mendalam mengenai warisan budaya tak ketara kepada masyarakat agar dapat menjadi modal insan yang lebih berpendidikan dan berbudaya; 

c) Menekankan kepada masyarakat akan kepentingan warisan budaya tak ketara untuk sentiasa dijaga dan dipelihara selagi tidak bercanggah dengan ajaran agama Islam; 

d) Mengambil peluang untuk berinteraksi dan mendekati secara tidak langsung kepada masyarakat, khususnya penggiat, pengamal atau pewaris warisan budaya tak ketara; dan 

e) Mengembangkan, mempromosikan dan membarigakan Konvensyen Memelihara Warisan Budaya Tak Ketara 2003, UNESCO kepada masyarakat.​

Turut hadir ialah Isteri Menteri-Menteri Kabinet, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Duta-Duta Besar dan Pesuruhjaya-Pesuruhjaya Tinggi, Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, jemputan-jemputan khas serta pegawai dan kakitangan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.​​

Attachments
Created at 12/9/2023 3:34 PM by Mariani Binti Hj Abu Bakar
Last modified at 12/9/2023 3:41 PM by Mariani Binti Hj Abu Bakar