Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

Pelancaran 'Padang Berawa : A Country's Legacy'

​Pameran gambar-gambar pegun berkaitan industri minyak dan gas di Seria dari awal abad ke-20 telah dilancarkan pada pertama kalinya untuk kunjungan orang awam.

Pameran kolaborasi antara Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Brunei Shell Petroleum COmpany Sendirian Berhad (BSP) ini diadakan di Muzium Daerah Belait.

Padang Berawa : A Country's Legacy telah dilancarkan oleh Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Paduka Haji Abidin, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan. Turut hadir Yang Mulia Awang Ramlee bin Haji Jamudin, Pegawai Daerah Belait.

Gambar-gambar yang dipamerkan menunjukkan sejarah Brunei yang disimpan dalam repositori BSP, dan hasil daripada projek digitasi rekod yang sedang dilaksanakan.  Setelah dipamerkan di Muzium Daerah Belait, pameran ini akan dibawa ke beberapa tempat di Negara Brunei Darussalam.

Dr. Ceri M. Powell, Pengarah Urusan BSP dalam ucapan beliau menyampaikan bahawa pameran ini adalah ucapan penghargaan kepada generasi awal BSP yang telah merekodkan perjalanan BSP sepanjang tempoh 90 tahun syarikat ini bertapak di Negara Brunei Darussalam. Sebanyak 30,000 gambar telah didigitasikan dan 200 golong filem yang masih dalam proses. Projek ini telah berjaya membongkar rahsia yang berharga dan perlu dikongsikan kepada semua.

Tetamu khas yang turut dijemput terdiri daripada mantan-mantan Pegawai Daerah Belait, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negeri, mantan-mantan pegawai BSP dan masyarakat setempat seterusnya menyaksikan pameran.

Muzium Daerah Belait adalah sebuah bangunan bersejarah di daerah Belait dan pernah menjadi kediaman rasmi Penolong Residen British dan juga Pegawai-Pegawai Daerah Belait.  Keunikan rekabentuknya juga turut menyumbang kepada pewartaan bangunan ini sebagai salah sebuah pameran yang dipelihara dibawah Akta Barang-Barang Purbakala dan Harta Terpendam. 

Attachments
Created at 12/22/2019 10:01 AM by Mariani Binti Hj Abu Bakar
Last modified at 12/22/2019 10:01 AM by Mariani Binti Hj Abu Bakar